Keputusan permohonan UPU sesi 2020/2021 diumum Rabu ini
KUALA LUMPUR, 30 Mei -- Keputusan permohonan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai program pengajian asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda akan diumumkan, Rabu ini.
Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Noraini Ahmad memaklumkan sebanyak 205,972 permohonan UPUOnline diterima untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politenik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awan (ILKA) bagi sesi akademik 2020/2021.
Semakan boleh dilakukan melalui saluran aplikasi UPUPocket 2.0 atau melalui pautan, http://jpt.umt.edu.my; http://jpt.ums.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.utm.my; dan http://jpt.uum.edu.my. bermula jam 12 tengah hari pada hari berkenaan.
KPT turut memaklumkan surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA dan mereka yang berjaya perlu dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan.
“Tawaran tempat adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan,” menurut kenyataan kementerian tersebut hari ini.
Bagi pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline Rayuan di http://upu.moe.gov.my dalam tempoh lima hari bekerja sahaja mulai 3 hingga 10 Jun, mulai jam 12 tengah hari hingga 5 petang bagi permohonan ke UA, IPG dan Kolej Matrikulasi.
“Bagi permohonan ke politeknik premier, politeknik konvensional/METrO, kolej komuniti dan ILKA, rayuan boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan terus kepada agensi berkaitan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA selepas pendaftaran pelajar baharu,” menurut kementerian itu.
Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) juga akan membuka kemudahan talian (hotline) mulai 3 hingga 10 Jun dari jam 8:30 pagi hingga 4 petang bagi memudahkan pemohon membuat semakan serta mendapatkan khidmat runding cara.
Sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh menghubungi BKPA JPT di talian telefon 03-8870 8200 atau e-mel kepada upu@moe.gov.my atau layari media sosial Facebook (KEMASUKAN BPKP JPT), Twitter (@TWT_UPU) dan Instagram (@KEMASUKANBPKP).
-- BERNAMA