KPDNHEP Limbang pantau bekalan makanan
LIMBANG:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Limbang membuat pemantauan harian terhadap bekalan makanan dan sebanyak 2,285 pemeriksaan premis perniagaan termasuk peringkat pengilang, pemborong dan peruncit telah dilaksanakan.
Timbalan Ketua Menteri,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata,stok bekalan barangan keperluan asas sepanjang bulan Ramadhan dan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai adalah mencukupi.
"Beberapa jenis barangan dan stok yang dipantau ialah telur ayam, ayam daging, minyak masak, tepung gandum, gula dan gas LPG.
"Pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan akan terus dipertingkatkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB bagi menentukan bekalan barangan makanan asas mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan terutamanya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak akan datang,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,bekalan barang-barang makanan keperluan asas penduduk di pedalaman di pusat jualan Point Of Sale tidak akan terjejas kerana kuota pada bulan Mei akan ditambah dengan kuota bagi bulan Jun.
"Untuk rekod statistik, bagi 1 Januari sehingga 13 Mei 2020, KPDNHEP Limbang Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 2,285 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar, telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 31 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 1.4 juta dan jumlah kompaun sebanyak RM 3,250.
"Sepanjang tempoh PKP dan PKPB dari 18 Mac hingga 15 Mei 2020 KPDNHEP Limbang Sarawak merekodkan sebanyak dua kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 567.90 dan nilai kompaun sebanyak RM 2,000,"ujarnya.
Beliau berkata, KPDNHEP Limbang Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dalam tempoh pelaksanaan PKPB ini dan akan menyiasat semua aduan pengguna yang dikemukakan kepada pihak kementerian.