Kuching ke Sarikei 3 jam - Len

KUCHING: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh menyangkal kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh dan Naib Presidennya, Dr Johnical Rayong Ngipa yang mengatakan inisiatif kerajaan sarawak membina dan menaiktaraf jalan utama kedua yang menghubungi daerah Roban hingga Kota Samarahan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau menjelaskan pembinaan jalan raya sepanjang 112 kilometer dari Roban hingga Kota Samarahan yang dicadangkan itu menjimatkan masa perjalanan dari Sarikei ke Kuching hanya kira-kira tiga jam berbanding lima hingga enam jam ketika ini.

"Malah, laluan ini juga bukan hanya melalui kawasan pekan tetapi juga perkampungan, rumah panjang, ladang kelapa sawit, sawah padi, tanah Adat Bumiputera (NCR) dan lain-lain lagi.

“Laluan ini tidak merentasi Taman Negara Meludam seperti yang dinyatakan oleh Johnical Rayong," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya jalan itu kelak dapat membangunkan Taman Negara Meludam dan Taman Negara Sebuyau yang sememangnya berpotensi besar untuk dikembangkan bagi tujuan ekopelancongan atau pelancongan ekologi yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi. 

"Kenyataan tersebut tidak tepat dan menunjukkan Johnical tidak memahami logistik dan geografi di kawasan berkenaan, seolah-olah mengambarkan Presiden dan Naib Presiden parti ini tidak mempunyai kemahuan untuk membangunkan kawasan di luar bandar atau mungkin juga parti ini tidak berhasrat membela rakyat yang amat mendambakan pembangunan.

Beliau berkata, jalan raya kedua dan Pan Borneo satu-satunya pendekatan terbaik untuk membangunkan kawasan luar bandar di mana produk-produk dari kawasan tersebut dapat dipasarkan ke Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu, Tanjung Manis malah luar negara. 

"Kalau tidak dilaksanakan sekarang bila lagi? Tak kan kita nak tunggu 10 hingga 20 tahun atau selama- lamanya untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat jelata.

"Ini adalah satu pelaburan yang terbaik untuk rakyat sarawak oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang prihatin kepada keperluan rakyat,"tegasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel