Mayat lelaki ditemui dengan kesan cedera di badan
KOTA BHARU, 9 Mei (Bernama) -- Satu mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dipercayai mati akibat dipukul dalam satu kejadian di belakang sebuah rumah kosong dekat Jalan Pintu Pong di sini, tengah hari tadi.
Mangsa dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dikatakan berbangsa Melayu dan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala, bawah mata dan rusuk kiri mayat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abd Rahim Daud berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 12 tengah hari tadi, berkaitan penemuan mayat itu yang dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira dua hari di sebuah rumah kosong yang lazimnya menjadi tempat tinggal gelandangan.
Beliau berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan awal yang dilakukan mendapati ada kesan kecederaan pada mayat.
“Siasatan oleh Bahagian Forensik juga mendapati ada kesan darah di dalam rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Abd Rahim berkata susulan penemuan mayat itu, polis juga menahan seorang lelaki berusia 40-an bagi membantu siasatan dipercayai suspek mengenali mangsa.
"Setakat ini kami masih cuba mendapatkan maklumat daripada mana-mana saksi khususnya bagi merungkai kejadian sebenar serta mengenal pasti identiti sebenar mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat," katanya.
-- BERNAMA
