Melaka catat 886 kes cubaan rentas negeri - Ismail Sabri
PUTRAJAYA, 22 Mei -- Melaka mencatatkan cubaan pergerakan rentas negeri tertinggi dengan 886 kes, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, Perak kedua tertinggi dengan 362 kes, manakala Pulau Pinang (284).
“Setiap hari saya ulangi jangan buat rentas negeri dan semalam mungkin bila saya umum tiada lagi kebenaran lagi rentas negeri, mungkin ramai yang ingin mengambil kesempatan rentas negeri.
“Mungkin mereka takut hari ini ada sekatan jalan raya dan sebagainya, dan sebab itu ramai yang cuba merentas negeri,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung, telah diarahkan berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, mengenai rentas daerah bagi tujuan mengunjungi sanak-saudara sempena Aidilfitri, Ismail Sabri berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan membenarkan pergerakan itu, namun orang ramai tidak digalakkan melakukannya bagi menjaga keselamatan serta kesihatan bersama.
Beliau menjelaskan saranan tidak mengalakkan pergerakan rentas daerah pada hari raya seperti diambil oleh negeri Johor, adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Tidak digalakkan bukan menyekat. Kalau kita dengar, setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan, walaupun dibenarkan rentas daerah tetapi masyarakat tidak digalakkan bagi keselamatan bersama,” katanya.
Dalam perkembangan sama, larangan pergerakan rentas negeri yang diumumkan kerajaan semalam juga terpakai untuk suami isteri yang tinggal berjauhan, yang sebelum ini diberikan kebenaran rentas negeri seminggu sekali.
“Tiada lagi. Sesiapa sahaja tertakluk kepada peraturan yang saya umumkan semalam,” katanya.
Sebelum ini suami isteri yang tinggal berjauhan atas sebab kerja dibenarkan untuk merentas negeri seminggu sekali.
-- BERNAMA