Menteri tuai madu kelulut
MIRI: Ketiadaan aktiviti ziarah Aidilfitri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimanfaatkan sepenuhnya oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin untuk mengumpul madu kelulut.
Beliau berkata, lazimnya setiap Hari Raya Aidilfitri beliau sibuk memenuhi majlis rasmi selain menghadiri rumah terbuka rakan-rakan dan penduduk di Miri.
“Saya ucapkan selamat Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Saya memohon maaf kerana tidak dapat berziarah kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi milik beliau.
Menurut Lee, sambutan Hari Raya kali ini disambut dengan normal baharu apabila beliau mengisi masa lapang tersebut dengan mengumpul madu kelulut.
“Saya mula menternak kelulut di perkarangan rumah sejak lima tahun lalu.”
“Setakat ini sarang kelulut tersebut dapat mengeluarkan madu untuk kegunaan kami sekeluarga selama sebulan,” kata Lee.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin) memberitahu beliau mulai mengutip madu kelulut sejak semalam dan diteruskan hari ini.
“Hari ini saya hendak kutip lagi madu, ada tiga kotak kayu sarang kelulut belum habis dituai,” katanya sambil menunjukkan topi khas dalam rakaman video.
Sementara itu perkongsian itu turut mendapat pujian daripada netizen dan sebahagian daripada mereka turut mengusik beliau ‘patutlah kelihatan semakin muda, mengamalkan madu segar,”.