Pesawat MASWings masuk parit
MIRI: Sebuah pesawat ringan jenis Twin Otter milik MASWings tergelincir semasa membuat pendaratan di Long Seridan pagi tadi.
Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Gerawat Gala dalam satu hantaran di Facebook berkata semua penumpang dalam pesawat itu selamat.
"Syukurlah 2 penumpang dan kedua-dua juruterbang pesawat MASWings yang mendarat di Long Seridan dari Miri pagi ini selamat tanpa cedera, setelah pesawat tersebut berakhir di dalam longkang lapangan terbang semasa mendarat," catat beliau.
Gerawat berkata beliau telah menghubungi CEO / MD MASwings, Aminuddin Zakaria mengenai kejadian itu dan dimaklumkan bahawa MASWings sedang menyiasat kejadian tersebut.
Gerawat juga telah memberitahu Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, mengenai kejadian itu.
"Sementara kita menunggu hasil siasatan oleh MASWings dan pihak berkuasa yang berkenaan, mohon jangan membuat spekulasi mengenai punca kejadian," nasihat Gerawat.
Kredit foto: Gerawat Gala
