Polis Kelantan rampas dadah bernilai hampir setengah juta


KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, Eramin 5 serta 30,000 biji pil Yaba bernilai sekitar RM458,167.50 selepas menahan seorang lelaki di Kampung Kota Kubang Labu, Tumpat, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Muhammad Piah berkata suspek berumur 47 tahun yang bekerja sebagai pemasang sistem audio itu ditahan di tepi sebuah rumah tanpa nombor pada pukul 9.00 malam selepas berlaku pergelutan.

Beliau berkata susulan pemeriksaan badan, polis menemui paket-paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai syabu dianggar seberat 53.35 gram, dan paket lutsinar berisi dua biji pil kemerahan disyaki dadah pil Yaba serta satu foil warna perak/merah bertulisan Eramin 5 yang berisi sembilan biji pil disyaki dadah jenis Nimetazipam.

Menurutnya suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Kedemit, Tumpat dan menunjukkan tempat penyimpanan dadah pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, dan hasil pemeriksaan polis menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil Yaba di satu kawasan timbunan daun berdekatan sebatang pokok pisang di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini Abdullah berkata, suspek direman sehingga 23 Mei untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori, dan suspek juga didapati memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah, selain positif dadah jenis Meth.

"Antara barang yang disita adalah sebuah kereta jenis Honda Civic, Suzuki Swift, motosikal dan wang tunai RM4,000. Suspek mengaku dadah dirampas adalah miliknya dan bekalan diperolehi dari negara jiran untuk pasaran sekitar Tumpat dan Wakaf Bharu," katanya.
-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel