Pulau Pinang sedia hadap saman demi rakyat - Chow
GEORGE TOWN, 5 Mei -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia menghadapi tindakan saman daripada pelbagai pihak sekiranya terbukti tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata negeri itu bersedia melaksanakan sepenuhnya pembukaan semula ekonomi di bawah PKPB namun memilih pendekatan Strategi Pemulihan Secara Berperingkat dan bukannya 'secara tiba-tiba.'
Menurut beliau, pendekatan itu diambil bagi melindungi nyawa 1.8 juta rakyat di negeri itu tanpa menjejaskan kelangsungan ekonomi mereka memandangkan Pulau Pinang merupakan negeri berkependudukan paling padat yang berisiko tinggi akan perebakan wabak COVID-19.
“Saya berharap Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menghormati pendekatan yang diambil sebagai rakan strategik bagi meletakkan negara di landasan pemulihan ekonomi,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook peribadinya di sini hari ini.
Semalam, Mohamed Azmin dalam satu kenyataan menyebut kerajaan negeri mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak khususnya dalam kalangan pihak industri sekiranya menghalang mana-mana syarikat memulakan operasi mulai 4 Mei iaitu tarikh kuat kuasa PKPB yang membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi.
Chow berkata tidak ada kerajaan negeri, termasuk Pulau Pinang, yang membantah pelaksanaan PKPB pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bagi Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 April lepas namun mereka meminta agar diberikan masa untuk menyusun strategi masing-masing bagi melaksanakannya.
Beliau berkata pada mesyuarat itu juga, Muhyiddin telah memaklumkan tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk melaksanakan pembukaan semula ekonomi di bawah PKPB.
Katanya Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang mematuhi PKPB secara berperingkat melalui tiga tahap iaitu fasa persiapan (4 hingga 7 Mei) bagi membolehkan sektor menyediakan pelaksanaan SOP, fasa pembiasaan (8 hingga 12 Mei) bagi membolehkan sektor yang dibenarkan di bawah PKPB dan masyarakat secara perlahan-lahan dapat menyesuaikan diri dengan SOP dan normal baharu serta fasa pembukaan (13 Mei) bagi semua sektor dibenarkan beroperasi tertakluk kepada PKPB.
“Bagi negeri Pulau Pinang, saya ingin mengulangi pendirian bahawa kami tidak pernah membantah inisiatif untuk membuka semula ekonomi di bawah PKPB.
“Apabila Perdana Menteri membuat pengumuman pada 1 Mei lalu, saya segera memberi respons melalui kenyataan media yang menyambut baik keputusan tersebut dan berjanji bahawa Pulau Pinang akan memberikan kerjasama agar usaha untuk memulakan semula ekonomi berjaya dilaksanakan,” katanya.
-- BERNAMA