Raya Ride berakhir di Balai Polis Simunjan
SIMUNJAN: Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan antara 25 orang yang dikompaun kerana gagal memberi alasan yang munasabah masuk ke daerah Simunjan tanpa menunjukkan surat kebenaran polis semalam.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata,pasukan snap check pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kilometer 1, Jalan Tun Openg, Simunjan
telah menjalankan pemeriksaan ke atas sekumpulan lelaki pada jam 2 petang.
"Seramai 25 orang menunggang motosikal dari arah Pasar Simunjan menghala ke Kampung Nanas, Simunjan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka berasal dari Kota Samarahan dan gagal memberi alasan yang munasabah masuk ke daerah Simunjan tanpa menunjukkan surat kebenaran polis,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,mereka semua telah dibawa ke Balai Polis Simunjan untuk di kompaun kerana telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
"Kesemua mereka mengaku telah hanya bersiar-siar dengan menunggang motosikal dari Kota Samarahan ke Simunjan kerana sudah lama tidak menunggang motosikal.
Katanya,selesai urusan mengeluarkan kompaun, mereka semua diarahkan balik ke Kota Samarahan melalui Jambatan Sadong.