Remaja maut, motosikal ditunggang masuk parit
MIRI: Seorang remaja lelaki maut setelah motosikal yang ditunggang hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke dalam parit di Kilometer 77, Jalan Miri-Bintulu,petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang maut dikenali Sylvester Kenneth Augustin Embie,19, beralamat di Lot 323 Sungai Sebatuk Niah akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata,semasa kejadian mangsa dalam perjalanan balik ke kediamannya.
"Mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu maut serta-merta di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri bagi tujuan pemeriksaan serta bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.