Rezeki Syawal peniaga buluh lemang

KUCHING:Permintaan buluh lemang meningkat dengan mendadak menjelang Syawal esok.

Bagi golongan peniaga di Pasar Basah, Kota Sentosa, di sini,kedatangan Syawal memberi rezeki tambahan kepada mereka dengan menjual buluh lemang, selain menjual hasil pertanian kepada orang ramai di situ.

Seorang peniaga, Norlela Abdullah, 52, mengakui jualan buluh lemang mereka melonjak dua kali ganda sejak awal hingga penghujung Ramadan.

"Setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri saya akan menjual buluh lemang , selain menjual sayur-sayuran di Pasar Basah ini.

"Ini kerana kebanyakan yang datang akan turut bertanyakan buluh lemang,malah permintaannya semakin meningkat dari hari ke hari sehingga penghujung Ramadan,"katanya di sini, hari ini.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, keadaan itu mungkin disebabkan orang ramai tidak mempunyai masa untuk mencari buluh lemang di hutan dan lebih selesa membeli.

"Buluh lemang yang dijual diambil sendiri dihutan, ada juga yang dibeli daripada penduduk kampung.

"Saya menjual buluh lemang dengan harga RM 2 sebatang, sehari saya mampu menjual antara 50 hingga 60 batang buluh lemang dengan hasil yang diperoleh sekitar RM 50 hingga RM 100 sehari,"katanya yang berasal dari Kampung Mambong, Padawan.

Katanya, dia sudah menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran di pasar basah terbabit sejak 15 tahun yang lalu.

"Saya lahir dalam keluarga petani dan minat berniaga berputik kerana sering menemani emak berniaga sejak kecil lagi.

"Hasil berniaga ini sekurang-kurangnya dapat membantu untuk menambah pendapatan keluarga,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel