Sarawak rangka norma baharu selepas Covid-19, Abang Jo
KUCHING: Kerajaan Sarawak merangka perancangan terperinci untuk rakyat negeri ini bagi menjalani kehidupan normal baharu.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, rancangan jangka pendek Kerajaan Sarawak ialah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang diwujudkan dalam tiga fasa.
Menurutnya, bantuan BKSSS yang dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat dan membantu peniaga kecil dan sederhana yang berdepan kesulitan sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerajan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
"Menerusi bantuan BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 diharap dapat meringankan sedikit kesulitan yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi Perutusan Khas Aidilfitri 2020.
Abang Johari berkata, Sarawak akan merancang kesan jangka masa panjang dengan menggubal program bagi memastikan ekonomi Sarawak terus berkembang sehingga tahun 2030.
Menurutnya, program pasca Covid-19 Sarawak diperkenalkan terutama melibatkan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar dengan tumpuan sembilan bidang yang dirangka.
Katanya, sembilan bidang tersebut ialah pertanian komersial, pengeluaran, perlombongan, perhutanan, pelancongan, infrastruktur asas, perkhidmatan, Pusat Data dan Inovasi serta tenaga boleh diperbaharui.
"Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak juga akan diwujudkan untuk mendapat input bagi melancarkan pelaksanaan.
"Input-input yang diterima nanti akan diperhalusi oleh Kerajaan Sarawak untuk menjadi landasan kukuh dalam memulihara dan memperkasakan ekonomi untuk jangka masa panjang," katanya.
Kredit gambar UKAS