Sebastian Ting bantu penjaja dan peniaga kecil daftar Sarawak Pay
MIRI: Kebanyakan penjaja dan peniaga kecil di beberapa tamu sekitar Miri sudah mendaftar akaun Sarawak Pay bagi membolehkan mereka menikmati Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) RM1,500.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting berkata, beliau sendiri bersama ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau dan Pujut sejak 18 Mei hingga semalam turun padang bagi membantu mereka membuat pendaftaran perkhidmatan itu.
“Setakat ini kita sudah pergi ke lima buah tamu dan pasar basah iaitu Krokop 10, Tamu Pujut Corner, Tamu Muhibbah, Tamu Kedayan dan Open Air Market.”
“Kebanyakan tamu sudah kita pergi dan kita bercadang untuk pergi ke kawasan lain sekitar Miri untuk membantu komuniti Miri mendaftar aplikasi Sarawak Pay,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.
Ting yang juga Menteri Muda Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan berterima kasih kepada penjaja dan peniaga kecil yang memberikan kerjasama sepanjang proses pendaftaran itu.
Sementara itu, turut hadir ke Open Air Market semalam ialah Datuk Bandar Miri merangkap Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii, Penghulu Leonard Fong dan Kaunselor Aries Leong.