Tambang bas RM1 di Kuching
KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak akan melancarkan tambang bas RM1 Kuching dalam masa terdekat.
Pengusaha bas henti-henti yang terlibat dengan tambang RM1 harus berdaftar di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.
Syarikat bas yang ditawarkan untuk menyediakan perkhidmatan tambang RM1 ialah Bau Transport Company Sdn Bhd, City Public Link Bus Sdn Bhd, Petra Jaya Transport (Sarawak) Sdn Bhd dan Biaramas Express Sdn Bhd.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, sudah tiba masanya untuk menyambung semula perkhidmatan bas henti-henti di Bandaraya Kuching ekoran daerah ini dikategorikan sebagai Zon Kuning.
Menurutnya, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) termasuk syarikat bas.
"Syarikat bas perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum menyambung semula perkhidmatan.
"Pengusaha bas perlu mengadakan sanitasi bas, memastikan pemandu bas menjalani saringan kesihatan dan penumpang memakai pelitup mula, menyediakan penjarakan sosial tempat duduk dan sebagainya," kata dalam kenyataan media hari ini.
Kim Shin berkata, perkhidmatan rentas bahagian dan daerah masih belum dibenarkan dan akan diberi pertimbangan selepas Gawai Dayak.
Perkhidmatan bas tambang RM1 telah beroperasi di Miri dan Sibu pada 16 Mei dan 20 Mei.