1 September 2020 laksana Biodiesel B20 di Sarawak
PUTRAJAYA, 19 Mei -- Program Biodiesel B20 Sektor Pengangkutan di Sabah dan Sarawak dilaksanakan pada tarikh baharu berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata pelaksanaan program itu di Sarawak kini ditetapkan pada 1 Sept, 2020 berbanding jadual sebelum ini iaitu April 2020 manakala di Sabah pada 1 Jan, 2021 berbanding yang ditetapkan sebelum ini pada Ogos 2020.
"Tarikh pelaksanaan program itu di Semenanjung yang ditetapkan pada 15 Jun, 2021 sebelum ini tidak berubah," katanya kepada media selepas mesyuarat bersama wakil daripada syarikat petroleum bagi membincangkan isu semasa dan Pelan Pelaksanaan Program Biodiesel B20 Sektor Pengangkutan di sini hari ini.
Program Biodiesel B20, melibatkan adunan 20 peratus metil ester sawit dan 80 peratus diesel petroleum, merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan tambahan penggunaan minyak sawit domestik yang dianggarkan sebanyak 534,000 tan setahun.
Ia dilaksanakan dalam sektor pengangkutan secara berfasa bermula dengan Langkawi pada 1 Jan, 2020 dan Labuan pada 15 Jan, 2020.
Mohd Khairuddin berkata pelaksanaan program berkenaan pada tarikh baharu terpaksa dibuat kerana pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP memberi kekangan kepada projek menaik taraf 35 depoh adunan yang diperlukan bagi pembekalan adunan diesel B20.
-- BERNAMA