Terima realiti norma baru kesan COVID-19-Tengah

KUCHING:Seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang di dirayakan baru-baru ini, perayaan Hari Gawai esok pastinya turut berbeza bagi masyarakat Dayak kerana masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 
disebabkan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan yang bekerja bertungkus lumus untuk memutuskan rantaian penyebaran COVID-19 ini dan masyarakat harus berkerjasama dengan mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mematuhi segala arahan PKPB dan SOP yang dilaksanakan untuk menghapuskan penyebaran wabak COVID-19 ini.

"Walaupun tradisi Ngabang pada perayaan kali ini tidak dibenarkan, namun saya yakin ia akan dapat terus dirayakan bersama keluarga. Saya juga berharap semangat perayaan Gawai ini akan dapat terus mempertingkatkan hubungan di antara semua kaum walaupun kita berbeza dari segi kepercayaan agama, budaya dan latar belakang yang berlainan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,semangat berkerjasama, hormat menghormati dan hidup dalam keadaan penuh harmoni adalah merupakan identiti masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

"Dalam keadaan kita masih dalam PKPB di mana pergerakan kita adalah terhad, namun saya yakin kita masih boleh berhubung di antara satu dengan yang lain dan merayakan sambutan Hari Gawai ini dengan penuh keceriaan melalui platform media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan lain-lain,"ujarnya.

Beliau berkata,inilah norma baru yang harus diterima,semasa perayaan Hari Raya, platform sebegini digunakan sepenuhnya dan ini membawa sedikit keceriaan pada sambutan tersebut.

"Saya berharap negeri dan negara kita akan terus aman damai dan stabil. Kerajaan amat komited untuk memastikan agar sektor ekonomi akan dapat dibangunkan semula demi untuk meneruskan agenda pembangunan yang menyeluruh akan dapat dilaksanakan lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar. 

"Kita mahu memastikan agar kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel