Tiada sidang selepas Titah Diraja

KUCHING: Tiada sidang selepas Titah Diraja pada Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung selama satu hari pada Isnin, 18 Mei ini.

 Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau telah menerima surat pemakluman yang ditandatangani Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat pemakluman yang ditandatangani YAB Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, memaklumkan disebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya, pihak Kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung selama satu hari iaitu pada Isnin. 18 Mei 2020 DIPINDA dengan urusan Majlis Mesyuarat seperti berikut:

“Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat (pada 18 Mei 2020-1 hari) dengan Urusan Majlis dimulakan dengan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Isnin 18 Mei 2020, jam 10 pagi – Dewan Rakyat & Dewan Negara bersidang serentak; dan tiada sidang selepas Titah Diraja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pindaan tersebut adalah selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Justeru, Setiausaha Dewan Rakyat, YBrs. Tuan Riduan Rahmat akan menyusul dengan mengeluarkan Notis Baru Majlis Persidangan Dewan Rakyat Bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 Tahun 2020 kepada semua Ahli-Ahli Dewan,” ujarnya.
LihatTutupKomentar
Cancel