UTC Miri mulai beroperasi hari ini
MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBNM) mengumumkan pembukaan semula Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri mulai hari ini.
Penyelarasnya, Datuk Lee Kim Shin berkata, pusat itu dibuka bermula jam 8 pagi hingga 4 petang dan terhad untuk pembayaran bil, SESCO, LAKU dan perkhidmatan Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Manakala agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan klinik masih belum beroperasi.
“Hanya 50 orang dibenarkan masuk pada satu-satu masa. Orang ramai hendaklah menunggu giliran masing-masing di zon yang telah ditetapkan di kanopi yang dilengkapkan dengan kipas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah, tanda bagi penjarakan sosial telah disediakan.
“Orang ramai perlu melakukan saringan kesihatan termasuk memeriksa suhu badan, menggunakan sanitasi tangan yang disediakan serta mencatat butir peribadi di pintu masuk,” katanya.
Proses sanitasi dan disinfeksi premis dilakukan setiap hari selepas tamat waktu beroperasi jam 4 petang.