Wong pertikai larangan pembukaan kedai gunting rambut
KUCHING:Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Padungan, Wong King Wei mempertikai larangan pembukaan kedai gunting rambut, salon kecantikan dan fotografi ketika semua sektor ekonomi mula dibenarkan beroperasi.
Menurutnya,hampir semua sektor perniagaan telah dibenarkan beroperasi mulai hari ini.
"Kerajaan harus mempertimbangkan dasar yang sama untuk perniagaan seperti kedai gunting rambut, salon kecantikan dan fotografi.
"Hampir semua aktiviti perniagaan telah menghentikan operasi selama hampir dua bulan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakàn(PKP) kesan wabak COVID-19,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut,katanya, beliau bimbang jika sektor-sektor tertentu masih tidak dibenarkan untuk beroperasi,lebih banyak perniagaan terpaksa gulung tikar yang akan mengakibatkan kadar pengangguran lebih tinggi.
"Kita memahami kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan negeri dalam membendung penyebaran COVID-19 dan pemulihan ekonomi.
"Namun demikian,kerajaan tidak boleh mengabaikan perniagaan yang hilang punca pendapatan sejak penguatkuasaan PKP,"ujarnya.
Beliau berkata,apa yang dipersoalkan ialah kerajaan membenarkan perhimpunan tidak melebihi 20 orang semasa perayaaan akan datang dan aktiviti luar yang melibatkan tidak lebih dari 10 orang.
"Sekiranya aktiviti seperti itu dibenarkan, mengapa kedai gunting rambut, salon kecantikan dan fotografi tidak boleh beroperasi,"tegasnya.
Sehubungan itu,Wong mencadangkan agar kerajaan membuat prosedur standard operasi (SOP) khas agar perniagaan gunting rambut, salon kecantikan dan fotografi dapat beroperasi semula tanpa menjejaskan usaha untuk mengekang penyebaran COVID-19.
"Perniagaan ini boleh dibenarkan beroperasi menerusi kaedah janji temu dan dengan jumlah pelanggan yang terhad dalam satu masa.
"Kerajaan juga boleh menawarkan bantuan khas kewangan kepada pengusaha perniagaan ini agar mereka dapat bertahan dari krisis global ini,"katanya.
1 Komentar
-
Harimau borneo May 12, 2020 at 7:49 AM Kedai gunting adalah tempat yg paling mudah untuk penyebaran convid19. Janganlah kluar kenyataan nak glamor saja YB.