17 Gerai Kampung Nangka berwajah ceria
SIBU: Bersih dan cantik. Peniaga gerai di sepanjang Kampung Nangka di sini menerima manfaat apabila projek menaiktaraf gerai makanan itu siap sepenuhnya hari ini.
Projek menaiktaraf itu termasuk menggantikan gerai-gerai sementara dengan kios yang moden, mesra pengguna dan bersih.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapa’ee berkata, projek pemasangan 17 kios itu adalah inisiatif Pusat Khidmat DUN Nangka dengan kos kira-kira RM242,000.
Sebelum ini, gerai-gerai di situ menimbulkan pandangan yang kurang elok khususnya kepada orang ramai yang berkunjung.
“Hari ini gerai baru di Kampung Nangka mula diletak ditempat yang telah dinaiktaraf.”
“Semoga usaha ini akan menarik lebih ramai pengunjung dan seterusnya menambah pendapatan pengusaha gerai di kawasan tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut berkongsi video tapak gerai sebelum dan selepas projek menaiktaraf.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berharap projek itu dapat menarik lebih ramai pelanggan seterusnya menjadi tempat penjaja jalanan yang terbaik di Sarawak.
Wajah baru gerai tersebut turut mendapat pujian warganet yang tertarik dengan kios berwarna-warni selain nampak bersih dan moden.
Gerai di Kampung Nangka itu sering menjadi tumpuan warga Sibu untuk membeli pelbagai makanan dan minuman.
Gambar ihsan Dr Annuar Rapa’ee