50 pemandu mabuk ditangkap
KUCHING:Seramai 50 orang pemandu pelbagai jenis kenderaan ditangkap atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dengan bacaan melebihi had dibenarkan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan terbabit dibuat dalam 31 operasi mabuk yang dijalankan di bandar-bandar utama di Sarawak.
"Daripada jumlah tangkapan itu sebanyak 45 kes atau 90 peratus kes telah dituduh di mahkamah.
"Semuanya mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman denda,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, selebihnya lima kes lagi masih menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara Negeri Sarawak untuk tindakan pertuduhan.
"Bagi tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 107 tangkapan di bawah Seksyen 45A APJ 1987 telah dibuat menerusi 73 operasi mabuk yang dijalankan.
"Kesemua kes tahun lalu telah dituduh di mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah,"katanya.
Beliau berkata, jumlah tangkapan kes mabuk di bawah Seksyen 45A APJ 1987 sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan kes sebanyak 53.3 peratus.
"Tidak ada kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk direkodkan di Sarawak setakat ini,"jelasnya.