546 guru, keluarga dibawa pulang
KUCHING: Seramai 546 guru dan keluarga yang terkandas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibawa pulang ke Kuching sejak semalam.
Ia hasil daripada kerjasama Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak yang berjaya membantu memudahkan perjalanan pulang guru-guru dengan mendapat harga yang berpatutan hasil perbincangan bersama Penerbangan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak.
Dua pesawat masing-masing MH8608 membawa 159 penumpang dan MH8614 dengan 287 penumpang mendarat di Kuching semalam.
Manakala pada Jumaat lalu seramai 129 orang berjaya dibawa pulang.
Turut bersama menaiki pesawat terakhir hari ini ialah Penasihat Sarawak Volunteers, Adun Tupong Fazzrudin A Rahman.
Menteri Kanan yang juga Penaung Sarawak Volunteers Datuk Sri’ Fadillah Yusof berkata, Rumah Sarawak di Kuala Lumpur dan Sarawak Volunteers terlibat secara langsung dalam memastikan anak-anak Sarawak khususnya pelajar mendapat akses kepada bekalan makanan sepanjang PKP.
"Selepas itu Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers sama-sama telibat dalam menguruskan usaha membawa pulang pelajar Sarawak ke kampung halaman masing-masing bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Penerbangan Malaysia (MAS)," katanya.
Datuk Fadillah juga turut bertanggungjawab membawa isu-isu berkaitan hampir setiap hari dalam Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP dan Sidang Khas COVID-19 di Putrajaya.
Sebelum ini, Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur berjaya melaksanakan usaha membawa pulang 9,668 pelajar yang terkandas akibat PKP.