Baru Bian katak baik dan Larry Sng katak dilupakan?
KETIDAKSERASIAN dua pemimpin utama PKR Sarawak sebelum ini sudah diketahui umum.
Ketika dalam PKR, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian yang pernah menerajui PKR Sarawak sudah mengharungi krisis dengan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng,
Apabila Baru Bian meninggalkan PKR Sarawak serta menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) ia memberi laluan mudah untuk Pengerusi PKR Sarawak, Larry menerajui parti pimpinan Anwar Ibrahim tanpa sebarang gangguan.
Kisah katak baik yang menjadi simbol Baru Bian menjadi igauan buat Larry yang juga pernah melompat lompat parti sebelum ini.
Bagi pemerhati politik, adakah hanya Baru Bian harus digelar katak baik?
Bagaimana dengan gelaran Larry Sng yang pernah melompat beberapa buah parti sebelum menyertai PKR?
Secara sinis ada yang menyatakan Baru Bian katak baik, Larry?
Usia si Larry pada 14 September ini bakal mencecah 40 tahun. Dalam usia semuda itu dia pernah menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak 2001, Parti Rakyat Sarawak 2004, Sarawak Workers Party 2010, dan akhirnya menjadi calon Bebas pada tahun 2018. Apabila PH menjadi kerajaan, keluarga Larry berduyun duyun masuk Parti Keadilan Rakyat di Sarawak pada tahun 2018.
Semua orang kenal siapa Larry. Selain reputasi ayahnya Dato Sng Chee Hua, beliau adalah menantu kepada jutawan terkenal, Datuk Ting Pek Khiing.
Larry pernah menjadi wakil rakyat paling muda diangkat menjawat tugas Menteri Muda ketika Tun Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri Sarawak.
Keluar masuk parti bagaikan suatu lumrah biasa kerana semua parti politik yang beliau sertai pasti dilanda krisis.
Detik gemilang Larry bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum 2018.
Dia bernasib baik apabila menewaskan Joseph Salang Gandum yang empat penggal menjadi Ahli Parlimen Julau.
Tuah buat Larry, apabila dilamar untuk menyertai PKR sebelum bermulanya krisis dalaman secara berperingkat dalam PKR Sarawak.
Bagi Larry, ketiadaan pasukan Pro Baru Bian yang mengumumkan untuk meletak jawatan beramai-ramai tidak mendatangkan kesan kepadanya.
Bagaimanapun keputusan mengejut
Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang keluar PKR memberi tamparan hebat buatnya. Jugah mengumumkan keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun beliau menghormati keputusan Naib Presiden PKR tersebut.
Larry Sng percaya apa yang dilakukan ahli parlimen itu sama seperti ahli-ahli parti lain, yang masih memilih untuk mengikut sama ada Pakatan Harapan (PH) atau PN.
"Bagi Yb (Yang Berhormat) Ahli Parlimen Lubok Antu saya mengenalinya, beliau seorang yang rajin bekerja dan saya menghormatinya.
"Walaupun kini kami tidak lagi sama dalam parti politik, saya mengucapkan semoga berjaya kepada beliau," katanya.
"Saya kemudian menghubunginya dan beliau sendiri meminta maaf kepada saya mengenai keputusannya itu.
"Beliau juga memberitahu saya sebab-sebab beliau meninggalkan parti," katanya.
Jugah dalam kenyataan berkata, beliau menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan turut menyatakan sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.
"Kawasan Parlimen saya terletak di luar bandar yang memerlukan bantuan kerajaan untuk pembangunan.
"Justeru, saya menyokong penuh PN dan GPS demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Lubok Antu," katanya.
Persoalan sekarang adakah benar berlaku masalah dalaman parti dalam Pakatan Harapan (PH) menyebabkan pemimpin dalam PKR Sarawak meletak jawatan?
"Saya juga kesal berikutan permasalahan dalaman PH (Februari lalu) menyebabkan Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan sehingga akhirnya kerajaan PH tumbang," kata Jugah.
Segala persoalan dan jawapan Jugah sudah cukup untuk menjawab segala persoalan ini.
Namun kecaman bertali arus hanya ditujukan kepada mereka yang keluar daripada Pakatan Harapan.
Penyokong Pakatan Harapan akan menghina, mencaci serta mencemuh mereka sebagai katak.
Manakala manusia-manusia yang hipokrit masuk politik semata-mata untuk kepentingan peribadi pula dipuja apabila menyatakan sokongan kepada PH.
Larry sudah keluar masuk 4 buah parti politik. Dia mempunyai penyokong yang berjuang bermati-matian di media sosial mengangkat beliau sebagai pemimpin agung Sarawak.
Adakah dia tergolong dalam kumpulan Katak Katak yang dilupakan? - GAGO DAILY