Bot nelayan karam di Belawai, seorang mangsa ditemui
KUCHING: Seorang nelayan tempatan yang karam di kawasan perairan Muara Pantai Belawai semalam ditemui lemas pagi ini, manakala seorang lagi masih hilang.
Mayat Ibrahim Abang Rasidi,52, yang merupakan Pengerusi Nelayan Kawasan(PNK) Gerigat dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran lokasi bot dilaporkan karam oleh penduduk kampung pada jam 8.05 pagi ini.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah Elfika Ahmad,29.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah menerima laporan dari Zon Maritim Tanjung Manis pada jam 2.20 pagi tadi sebuah bot karam bersama dua orang nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar ke laut bersama sekumpulan 11 bot lain.
"Bertindak atas laporan ini Maritim Negeri Sarawak telah mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 2.45 pagi.
"Kejadian bot karam terbabit dilaporkan berlaku di kawasan perairan Muara Pantai Belawai,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,kehilangan dua mangsa terbabit hanya disedari apabila bot-bot yang bergerak dalam kumpulan iti selamat sampai di jeti pada 9.30 malam tadi.
"Maritim Negeri Sarawak menubuhkan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Pantai Tanjung Belawai bagi melancarkan kerja-kerja koordinasi CARILAMAT.
"Pihak Maritim Negeri Sarawak melaksanakan operasi CARILAMAT dengan dibantu oleh agensi yang lain mulai jam 7.30 pagi ini,"katanya.
Beliau menasihati komuniti maritim samada nelayan atau mereka yang telah mula melakukan aktiviti rekreasi laut agar mengutamakan keselamatan dengan memastikan kesemua kelengkapan keselamatan seperti jaket keselamatan dan alat perhubungan.
"Mereka juga digalakkan untuk mempunyai alat pengesan seperti Personal Locator Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak Maritim Malaysia mengesan kedudukan jika terdapat sebarang kejadian kecemasan.
"Maritim Malaysia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau perkembangan terbaru berkenaan kejadian ini diminta untuk menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam,"katanya.