Coretan "Hari Bapa" Pandelela cuit netizen
CORETAN Ratu terjun negara, Pandelela Rinong tentang zaman kanak-kanak dalam Instagram mendapat perhatian netizen.
Dalam coretan tersebut, atlet kelahiran Kampung Jugan, Bau itu mendedahkan bapanya adalah guru yang mengajar tentang kehidupan.
Apa yang dikongskan Pandalela adalah sempena Hari Bapa yang disambut hari ini.
Dia menceritakan pernah mengamuk dan menangis apabila bapanya tidak membelikan mainan ketika berusia lima tahun.
"Saya tidak mempunyai banyak perkara yang selalu saya mahukan…
"Ketika berusia 5 tahun, saya melihat mainan masak masak di luar kedai, jadi saya menarik tangan ayah saya dan memintanya membeli untuk saya. Dia menolak, membuat saya kecewa dan marah.
"Kalau ayah beli untuk kamu nanti sekejap saja kamu main, esok lusa daddy yang kemas.
"Namun, saya yang masih kecil tetap menangis mahu bapa membelikannya untuk saya dan dia akhirnya belikan untuk saya. Saya dengan gembira main masak-masak pada malam itu.
"Keesokan harinya, mainan itu menjadi seperti mainan yang lain yang mana bapa saya tolong kemaskan," katanya.
"Sejak itu, setiap kali saya mahukan sesuatu yang tidak penting, dia akan mengingatkan saya dengan kisah itu. Dia berkata, lebih baik beli makanan, lagi kenyang, perut pun happy'," katanya.