Cuti sekolah pendek sektor pelancongan masih bernafas
KUCHING: Cuti persekolahan yang akan dipendekkan pada penghujung tahun tidak begitu menjejaskan sektor pelancongan negara.
Menteri Pelancongan Datuk Nancy Shukri berkata, walauppun cuti tidak panjang tetapi tempat-tempat yang mempunyai daya tarikan akan dikerumuni oleh orang ramai.
"Ramai rakyat kita sudah tidak sabar untuk keluar melancong. Sudah ramai rakyat kita pergi melancong dengan pelancongan domestik di mana mereka bercuti di Pulau Redang, menaiki feri dan sebagainya," katanya pada sidang media yang diadakan selepas Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) meminda Takwim Penggal Persekolahan 2020 untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pindaan membabitkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari.
Ia membabitkan sekolah kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan kumpulan B membabitkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Selain itu, cuti akhir tahun bagi sekolah dalam kumpulan A dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala sekolah dalam kumpulan B dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari," katanya.
KPM menyatakan jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan 2020 adalah 168 hari bagi semua sekolah.
Katanya, bilangan hari pembelajaran di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah 56 hari bagi sekolah dalam negeri kumpulan A dan bilangan hari pembelajaran di rumah dan bagi sekolah dalam negeri kumpulan B adalah 55 hari.
"Bilangan hari pembelajaran di rumah hanya terpakai kepada murid Tingkatan Lima dan Enam manakala bagi murid lain bergantung kepada bila mereka akan kembali ke sekolah kelak," katanya.