Dua wanita rugi RM63,000 ditipu sindiket phone scam, parcel scam



BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Dua wanita mengalami kerugian sebanyak RM63,000 selepas masing-masing ditipu sindiket Phone Scam dan Parcel Scam di daerah Seberang Perai Utara (SPU), semalam.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian membabitkan sindiket Phone Scam, seorang ahli perniagaan berumur 53 tahun itu kerugian RM50,000 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang perlu dijelaskan secepat mungkin.

“Mangsa yang terkejut telah memberikan maklumat akaun bank berserta kata laluan yang kononnya diperlukan oleh pihak polis untuk menyiasat akaun bank mangsa yang terlibat dengan pengubahan wang haram.

“Mangsa juga telah menyerahkan nombor TAC kepada suspek yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis berpangkat ACP. Mangsa turut dilarang atau diugut untuk tidak menceritakan hal ini kepada sesiapa," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kes berasingan, seorang penganggur berusia 23 tahun kerugian RM13,000 kerana terpedaya dengan sindiket Parcel Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Instagram awal Mei lepas yang memberitahu akan menghantar barangan berjenama sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya.

"Akibat terlalu teruja, mangsa terpedaya dengan panggilan yang diterima daripada ejen penghantaran menyatakan barangan tersebut telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM13,000 daripada akaun simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan suspek," katanya.

Noorzainy berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 
-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel