Dzulkafli dilantik sebagai Panglima 1 Divisyen
KOTA SAMARAHAN: Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa dilantik sebagai Panglima 1 Divisyen Ke-28 menggantikan Mejar Jeneral
Dato’ Md Din Abu yang akan bersara.
Majlis Serah Terima Tugas Panglima 1 Divisyen
telah diadakan di Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang
disaksikan oleh Pemangku Panglima Medan Timur Tentera Darat, Mejar Jeneral
Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan hari ini.
Dzulkafli dilahirkan pada 23 Februari
1963 di Kubang Pasu, Kedah, memulakan karier dengan menyertai latihan
sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1981, dan seterusnya ditauliahkan sebagai
Leftenan Muda pada 22 Mei 1982.
Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD)
merupakan unit pertama perkhidmatan beliau.
Di sepanjang hampir 38 tahun usia
perkhidmatan, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selain banyak menghadiri kursus-kursus strategik di dalam
dan luar negara.
Md Din yang merupakan Panglima 1 Divisyen
ke-27 bermula 19 Mac 2019 yang lalu akan menjalani latihan peralihan sebelum
bersara wajib pada Disember 2020.
Beliau yang dilahirkan pada 28 Disember 1960
di Alor Gajah, Melaka memulakan karier ketenteraan pada tahun 1980 dengan
menjalani latihan Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan ke Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5 RRD) pada tanggal 17 Jun 1982.
Pelbagai jawatan penting telah beliau sandang di sepanjang 40 tahun
perkhidmatan beliau.
Memimpin ketumbukan 1 Divisyen tatkala Malaysia
menghadapi wabak Pandemik Covid-19 terutama dalam pelaksanaan Op Penawar
di negeri Sarawak yang kini sudah sampai ke peringkat Pemulihan selain bersama-sama pelbagai agensi dalam mengekang kemasukan PATI ke negeri Sarawak
antara ketokohan dan sumbangan besar beliau selaku Panglima 1 Divisyen.