Enam premis dikompaun tidak patuhi SOP PKPP
KUCHING: Sebanyak enam premis telah dikompaun kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak(JKNS) semalam.
Operasi bersepadu Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan pematuhan SOP PKPPP itu dijalankan di Gita,Metro City,Matang Baru dan Demak.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri, Billy Sujang berkata,antara kesalahan yang dilakukan sama ada tidak mengambil suhu badan, tidak merekod kehadiran dan tidak membuat nyahkuman mahupun sanitasi di premis seperti mana dikehendaki dalam SOP di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020 (No.7).
"Dalam operasi yang sama, sebanyak 17 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada 17 individu atas kesalahan dibawah Peraturan 11(1)(d) - merokok ditempat makan (15) dan Peraturan 12(1)(b) menyediakan tempat abu rokok (2) di bawah PPKHT 2004.
"Kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan 11(1) boleh dikompoun sehingga RM250 atau diambil tindakan di mahkamah jika gagal membayar kompaun dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,menyediakan tempat abu rokok di premis tempat makan adalah menjadi satu kesalahan dibawah Peraturan 12(1)(d) dan boleh di kompaun sebanyak RM250 atau didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi enam bulan.
"Sebanyak 63 premis telah diperiksa meliputi 30 kedai tempat makan, 29 kedai peruncitan dan serbaneka dan empat kedai gunting rambut atau saloon,"ujarnya
Katanya, larangan merokok di tempat makan sentiasa berkuatkuasa di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.