Jual Sijil Sakit Palsu: Tujuh individu ditahan


JOHOR BAHRU, 5 Jun -- Perasaan curiga sebuah syarikat berhubung sijil cuti sakit yang dikemukakan pekerjanya membawa kepada penahanan tujuh individu yang terlibat dalam pemalsuan dan penjualan sijil berkenaan di daerah ini sejak tiga bulan lepas.  

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata suspek yang termasuk sepasang suami berusia 18 hingga 50 tahun ditahan dalam beberapa operasi antara 12.30 tengah hari hingga 12 tengah malam pada 3 Jun lepas di sekitar Permas Jaya, Mount Austin dan Kempas.

“Penahanan mereka adalah susulan satu laporan polis yang diterima pada 1 Jun daripada sebuah syarikat yang curiga akan sijil cuti sakit yang dikemukakan pekerjanya,” kata Mohd Padzli dalam sidang media, di sini hari ini.

Katanya siasatan mendapati sindiket yang menggunakan nama dan cap hospital kerajaan itu menjual sijil cuti sakit palsu tersebut kepada pekerja kilang dan syarikat swasta di sekitar Johor Bahru dan di negara jiran pada harga RM30 sekeping. 

“Setakat ini, lebih daripada 300 sijil cuti sakit telah terjual dengan anggaran nilai kira-kira RM9,000,” katanya, menambah kesemua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mengulas kes lain, Mohd Padzli berkata pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dengan penahanan empat individu dalam Op Vulture pada 3 Jun lepas.

Mereka yang berusia antara 21 dan 40 tahun terbabit ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Taman Mount Austin antara 5 petang hingga 8.30 malam, katanya.

Beliau berkata menerusi tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes melibatkan ceti haram di sekitar Johor Bahru Selatan.

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 7 Jun ini untuk siasatan menurut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel