Kaki pecah rumah, curi kereta ditangkap

KUCHING: Seorang lelaki yang melakukan aktiviti pecah rumah dan curi kereta ditangkap penduduk Kampung Tabuan Melayu, di sini, awal pagi tadi.

Tangkapan suspek berusia 39 tahun itu dilakukan setelah berada dalam keadaan mencurigakan ketika memasuki kampung berkenaan jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komosioner Awang Din Awang Gani berkata, pihak polis mendapat maklumat daripada orang awam bahawa terdapat sebuah kereta jenis Toyota berwarna putih berada di kawasan Tabuan Melayu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sepasukan polis bersama seorang anggota tentera dan seorang anggota Rela yang menyertai Pasukan penugasan Op Covid -19 telah ke lokasi dan mendapati kereta tersebut telah ditahan oleh penduduk kampung berkenaan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap kenderaan tersebut mendapati ia dilaporkan sebagai kenderaan yang telah dicuri dari sebuah rumah.

"Suspek bersama kenderaan berkenaan telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,selain menemui semula barang yang dicuri dari rumah berkenaan, polis turut merampas peralatan pecah rumah yang dijumpai dalam kenderaan dan sebilah pisau.

"Pemilik kenderaan berusia 32 tahun juga telah membuat laporan polis berkaitan kes pecah rumah dan curi yang telah berlaku pada malam yang sama di mana mangsa pada jam 1 pagi semasa balik ke rumahnya di Taman Mendu, Jalan Wan Alwi telah mendapati pagar rumah telah terbuka.

 "Apabila diperiksa mendapati pintu belakang rumah telah dipecah dan beberapa barang milik mangsa seperti telefon bimbit, bag silang dan jam tangan telah hilang termasuk sebuah kereta Toyota,"ujarnya.

Katanya,semakan rekod mendapati suspek pernah ditangkap berkaitan kes dadah dan curi kenderaan.  

Suspek telah direman untuk siasatan lanjut,kes disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.
LihatTutupKomentar
Cancel