Katak jangan melompat di kolam yang salah!
WARTAWAN GAGO DAILY
KATAK melompat di kolam yang salah.
Adakah ungkapan tersebut membayangkan nasib bekas pemimpin PKR, Baru Bian dalam politik tidak akan mampu pergi jauh?
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Selangau tersebut mengumumkan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dipimpin Datuk Seri Wong Soon Koh.
Ramai yang berpendapat, jika Baru Bian menyertai salah satu komponen GPS peluang masa depan politik tetap ada.
Bagaimanapun, pilihan tersebut bakal memakan diri kerana PSB hanya dimonopoli pemimpin tertentu yang berkuasa.
Memetik akhbar tempatan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing menyifatkan ia sebagai langkah kurang tepat kerana parti itu tidak mempunyai agenda jelas dalam pembangunan kawasan luar bandar.
"Nampaknya katak pintar yang melompat sokongan kepada mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad pada saat-saat akhir, salah lompat.
"Katak itu melompat ke kolam yang salah. PSB merupakan satu parti yang tidak mampu membantu rakyat kecuali dengan adanya sokongan yang kuat," katanya.
Dewasa ini, nasib Baru Bian serupa dengan bekas parti dipimpin iaitu PKR yang kini mengharungi ujian perit di Sarawak.
Berbeza dengan bekas rakan parti di Keadilan, Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang keputusan meninggalkan KEADILAN dan menyertai semula parti Bebas adalah tepat.
James Masing sendiri yakin keputusan Jugah adalah kena pada masanya kerana dialu-alukan menyertai PRS.
"Kerusi PRS telah menduduki tempat teratas di Lubok Antu pada masa ini. Ini memudahkan saya untuk memutuskan siapa yang bakal dicalonkan menjelang PRU Ke-15,” katanya dipetik Suara Sarawak.
Bekas Naib presiden PKR itu telah mengumumkan untuk keluar dari parti pada Jumaat lalu dan menyatakan sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau yang berjaya memenangi kerusi sebagai calon bebas pada PRU Ke-14 itu bergabung dengan PKR yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Jugah, konflik dalaman yang berlaku dalam parti PH merupakan punca perletakan jawatan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian menyebabkan kejatuhan PH.
Justeru, beliau memutuskan untuk keluar PKR setelah mendapat persetujuan daripada penyokongnya bagi menyokong kerajaan hari ini demi kepentingan dan pembangunan Lubok Antu.
Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, langkah Jugah untuk menyokong kerajaan PN dan GPS merupakan tindakan tepat dan termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan sekarang, adakah Juggah mahu menyertai PRS pada PRU akan datang.
Kini ia terpulang kepada Juggah sendiri sama ada mahu menyertai parti komponen GPS selepas tawaran telah dibuat bos PRS sendiri.
"Persoalannya sekarang apakah beliau mampu berpindah ke parti politik lain dan sejauh mana rasional langkah yang beliau ambil?
"Saya percaya bahwa beliau mampu bertanding sebagai calon Lubok Antu pada PRU akan datang demi kebaikan rakyat di kawasannya,” katanya.
Apa yang pasti masa depan Juggah terletak pada tangan dia sendiri serta sokongan padu akar umbi.
Jika dia memilih parti yang berkuasa pada masa sekarang sudah tentu masa depan terjamin untuk dirinya dan rakyat dikawasan tempat beliau bertanding. Tepuk dada, tanya selera.