Kedai nombor sudah buka...
KUCHING, 19 Jun: Premis perjudian nombor ekor berlesen dengan Kementerian Kewangan di Sarawak yang ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bermula telah beroperasi semula hari ini termasuk di bandar raya ini bermula sekitar jam 9 pagi tadi.
Ini membolehkan kaki nombor ekor di bandar raya ini kembali mengunjungi premis terbabit bagi membeli nombor ekor untuk cabutan esok dan seterusnya atau mengambil hadiah kemenangan nombor mereka bagi cabutan itu sebelum bermula PKP.
Tinjauan premis terbabit di Jalan Canna dan King Center, Jalan Simpang tiga mendapati pelanggan tidak ada masalah mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi membeli nombor ekor.
Ini termasuk setiap pelanggan diambil suhu mereka oleh seorang kakitangan premis itu yang lengkap bersarung tangan dan berpenutup muka dan selepas itu pelanggan menulis nama nombor telefon dan suhu badan pada buku sebelum memasuki premis.
Sebelum ini operator perjudian berlesen dengan Kementerian Kewangan telah dibenarkan beroperasi semula di Semenanjung pada 17 Jun lepas.
Manakala Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBn), Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan operator perjudian terbabit dibenarkan beroperasi di Sarawak mulai 19 Jun.