Kontraktor diberi masa tambahan, Uggah
KUCHING, 24 Jun: Kerajaan negeri tidak membantah sekiranya pihak kontraktor diberikan tambahan masa bagi menyiapkan projek penting kepada rakyat sekiranya mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini kerana pihaknya dapat menerima bahawa kelewatan itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini akibat pandemi Covid-19.
"Kami tidak bantahan bagi memberikan tambahan masa kepada kontraktor. Bagaimanapun kami berharap semua agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) , Pejabat Residen dan Daerah, majlis tempatan dan lain-lain akan memantau dengan teliti ketika kerja (penyiapan projek) ini dimulakan,"katanya ketika mengadakan mesyuarat dengan sejumlah jabatan kerajaan di Betong di mengenai status pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di bahagian tersebut pada Isnin, lepas.
Uggah yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban pada mesyuarat itu telah dimaklumkan sejumlah projek (RTP) telah tertunda akibat PKP.
Katanya pemberian tambahan masa itu diharapkan membolehkan kontraktor mengejar masa yang hilang kerana PKP sebelum ini dan menyiapkan semua projek terbabit yang sangat penting bagi rakyat.
ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr Richard Rapu dan Bahagian Residen Betong, Friday Belik adalah antara yang hadir mesyuarat itu.