Majoriti calon PSB boleh menang - Rayong
SUDAH bersedia menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi. Parti Sarawak Bersatu (PSB) kini dilihat yakin untuk menawan beberapa kerusi pada pilihan raya yang diadakan bila-bila masa.
Malah kekuatan parti berkenaan berdasarkan calon yang dipertarukan untuk mengambil alih beberapa kerusi di Sarawak.
Meskipun berhadapan dengan pencabar daripada parti kerajaan, PSB juga terpaksa menghadapi musuh dari pembangkang iaitu DAP dan Keadilan.
PSB merupakan sebuah parti bercorak pelbagai kaum tetapi majoriti keahliannya terdiri daripada kaum Cina.
Parti Rakyat Bersatu (PSB) merupakan antara parti politik yang terbaru ditubuhkan.
Ditubuhkan pada 2014, parti ini merupakan parti politik yang pro-Barisan Nasional di Sarawak.
PSB adalah pecahan daripada parti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akibat perbalahan antara pemimpin parti.
Objektif PSB ialah untuk mengkukuhkan hukum negara iaitu adil dan mewujudkan sikap sama rata bagi semua masyarakat tanpa mengira budaya dan kepercayaan.
Bagi menjaga dan mengekalkan kerajaan yang telah ditubuhkan berdasarkan Demokrasi Parlimen.
Sejauh manakah PSB mampu menawan atau mempertahankan kerusi DUN Sarawak yang dipegang oleh ADUN mereka?
Sebanyak 12 lagi senarai calon selain Dun Engkilili pada PRN yang telah diumumkan secara rasmi oleh Presiden PSB sebelum PKP ialah Datuk Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Tiki Lafe (Tasik Biru), Yaakub Khalid (Muara Tuang), Wilson Entabang (Simanggang), Datuk Wan Abdillah Edruce (Lingga), Datuk Masir Kujat (Balai Ringin), Datuk William Nyalau Badak (Batang Ai), Datuk Tiong Thai King (Dudong), Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Datuk Joseph Entulu Belaun (Tamin) dan Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi).
Sehingga kini wakil rakyat PSB di dalam Dun ada enam orang termasuk Baru Bian (Ba'Kelalan) dan See Chee How (Batu Lintang) manakala dua orang Ahli Wakil Rakyat di peringkat Parlimen.
Baru-baru ini, tercetus sedikit kekecohan apabila senarai 27 orang nama calon PSB yang tular di media sosial, Facebook.
Namun ia dijawab Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dr Johnical Rayong Ngipa sebagai tangan ghaib yang dilakukan pihak yang tidak bertangggungjawab.
Senarai nama 27 calon PSB bagi menghadapi PRN12 dan Rayong menegaskan bahawa senarai tersebut tidak tepat kerana segelintir daripada senarai nama tersebut tidak dikenali parti.
“Perkara ini mungkin mempunyai tujuan tersendiri kerana melangkaui keterangan rasmi yang hanya boleh diumumkan oleh presiden parti (Dato Sri Wong Soon Koh).
“Jangan risau kerana majoriti calon yang boleh menang telah dikenal pasti dan mereka telah ditemu duga oleh pihak Majlis Tertinggi PSB,” katanya dipetik akhbar Suara Sarawak.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PSB dan calon PSB di Dun Engkilili berkata, PSB sudah bersedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).
Menurutnya, jentera parti sudah bersedia dan menunggu bila-bila masa menghadapi pilihan raya.
“Ya, kami PSB sekarang sudah bersedia penuh untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan kita percaya dapat memenangi banyak kerusi sehingga mampu menubuhkan kerajaan baru di Sarawak.
“Oleh itu, kita berdoa agar pandemik Covid-19 terus pulih di negeri ini supaya semua program yang diatur berjalan lancar.
“Ini kerana banyak program telah dirancang sebelum ini tidak dapat dilakukan kesan daripada penularan wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.