Masjid Darul Halim sudah siap
KUCHING, 18 Jun: Masjid Darul Halim, Kampung Bahagia Jaya Teku, di Sibu yang baharu siap dibina dijangka akan mula digunakan penduduk untuk solat berjemaah pada Jumaat minggu depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Nangka dan Menteri Muda Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapa'ee berkata masjid terbabit secara rasminya sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjidnya semalam.
"Masjid ini agak lambat dibina kerana tanah asal tapak masjid rupanya tanah gambut, disebabkan itu keputusan dibuat untuk mengalihkan sedikit kedudukan masjid ini dari tapak asal,"katanya dalam kenyataan di media sosial Facebook hari ini.
Dr Annuar berkata bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem telah mengumumkan dana sebanyak RM2 juta untuk bina masjid baharu terbabit di Kampung Bahagia Jaya Teku pada 7 Februari 2015.
Manakala bekas Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman telah hadir majis penentuan kiblat masjid baharu terbabit pada 10 Mac 2016.
"Kedua tokoh ini sudah meninggalkan kita, semoga pahala kedua mereka dalam membantu terbinanya masjid ini menjadi sebahagian bekalan mereka di akhirat," katanya.