Maut motosikal jatuh anak sungai
BAU: Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggang hilang kawalan lalu tercampak ke dalam anak sungai di selekoh Jalan Bau-Serikin, di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata,dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Kannan a/l Muniandy, 39, beralamat di Skim Penempatan Baru,Taman Desa Wira, Kuching, maut akibat lemas.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa
dalam perjalanan dari Jagoi, Serikin menuju ke Pasar Bau.
"Motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan tercampak ke dalam anak sungai.
"Mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pihak paramedik hospital Bau,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,mayat mangsa dibawa ke rumah mayat hospital Bau untuk pemeriksaan lanjut menggunakan land rover Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
"Akibat kemalangan itu motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"katanya.