Mayat ditemui di Tua Pek Kong

BAU: Seorang pencuci kereta terkejut menjumpai satu mayat terbaring dalam sebuah rumah ibadat tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, lelaki terbabit  hendak sembahyang di tua pek kong Cina, Jalan Buso, di sini.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, lelaki itu kemudian bergegas dari tua pek kong terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk memaklumkan kejadian.

"Mayat lelaki yang ditemui dikenalpasti sebagai Liaw Poh Yong, 53, yang dipanggil Ah Lek, beralamat di Paku,Bau.

"Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan itu dan mendapati si mati dalam keadaan terbaring atas lantai. 

"Keadaan fizikal simati telah diperiksa   namun tiada kesan lebam atau luka yang boleh mengaitkan kematian dengan unsur jenayah,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,pemeriksaan lanjut di dalam dan sekitar tua pek kong tidak menjumpai sebarang alatan atau unsur-unsur yang boleh mengaitkan kematian dengan perbuatan jenayah. 

"Kapitan Paku Phu Shak Sin telah dihubungi serta dimaklumkan berkenaan kematian lelaki terbabit. 

"Beliau memberitahu si mati   berada di Paku dan Buso sejak tahun 2016 tanpa ahli keluarga atau waris terdekat,"katanya.

Beliau berkata, si mati adalah seorang yang kerap berpindah dan tinggal secara menumpang dari satu tua pek kong ke tua pek kong  sekitar Paku dan Buso.

"Mayat telah dibawa ke hospital dan ditempatkan di rumah mayat.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan akan menjalani saringan COVID-19 esok hari,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel