MEDAC akan bangunkan aplikasi penghantaran barangan ala Grab Food, FoodPanda - Wan Junaidi
KUCHING, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membangunkan satu aplikasi penghantaran barangan ala-ala Grab Food dan Foodpanda, kata Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.
Beliau berkata, aplikasi penghantaran itu merangkumi pelbagai perkhidmatan yang antaranya makanan, barangan serta produk pertanian, perikanan dan penternakan khususnya dari luar bandar ke bandar bagi memudahkan urusan peniaga dan pembeli.
“Contohnya, di Sarawak ini terdapat kumpulan yang melakukan penghantaran produk pertanian, perikanan dan penternakan tetapi tidak meluas. Kita juga sedar bilangan ‘rider’ ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah permintaan yang tinggi.
“Kewujudan aplikasi penghantaran yang lain seperti Grab Food, Foodpanda dan sebagainya ini bukanlah kita menganggap untuk bersaing dengan mereka tetapi untuk saling melengkapi sekaligus mencipta peluang kerja yang baharu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua agensi di bawah kementeriannya di sini.
Pada masa yang sama, Wan Junaidi berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional juga menyediakan pembiayaan pinjaman untuk membeli motosikal bagi sesiapa yang berhasrat untuk menjadi ‘rider’ tetapi tidak memiliki kenderaan.
“TEKUN ada memberi pinjaman khas sehingga RM10,000 bagi mereka yang beminat untuk menjadi ‘rider’, tidak kira Grab Food, Foodpanda atau mana-mana syarikat penghantaran makanan dan setakat hari ini, 200 ‘rider’ sudah mendapat manfaat itu, ” katanya.
Bagi semua pembiayaan TEKUN pada tahun 2020 setakat 10 Jun, Wan Junaidi berkata, 27,644 usahawan telah mendapat manfaat melibatkan dana RM257.9 juta.
Ketika bercakap mengenai hasil pertemuan bersama ketua-ketua agensi berkenaan, Wan Junaidi berkata beberapa isu berbangkit seperti ketiadaan cawangan bank di kawasan pedalaman di Sarawak sudah mendapat khabar positif.
“Penembusan pasaran TEKUN dan Bank Rakyat akan diperluas khususnya di kawasan pedalaman. Saya dimaklumkan Bank Rakyat akan menjalankan perkhidmatan bank bergerak di kawasan luar bandar dengan kerajaan negeri Sarawak juga memberi sumbangan dana untuk membeli bas berkenaan.
“Difahamkan beberapa bank lain seperti Bank Simpanan Nasional juga akan terlibat dengan perkhidmatan bank bergerak itu sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi yang mana sebelum ini mereka tidak mempunyai bank di sana bagi tujuan menyimpan duit, melabur dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA