Miri ke Lawas tanpa lalui Brunei


Memandu 23 jam, bayar tol di tengah malam di hutan belantara. Itu antara cabaran untuk meneruskan hidup dalam norma baru Post Covid-19. 

Pengusaha kelulut Sylvester Malan, berkongsi pengalaman mendebarkan apabila dihampiri sekumpulan penduduk yang membawa parang dan sumpit dalam perjalanan off-road dari Miri ke Lawas, tanpa melalui Brunei, Sabtu lalu.

Menurut Sylvester, mereka meminta bayaran tol untuk setiap kenderaan yang menggunakan laluan tersebut.

“Setelah berunding, mereka bersetuju mengurangkan bayaran tol. Waktu malam dan ditengah hutan, kami bayar sebelum dibenarkan lalu,” katanya menceritakan pengalaman pertama melalui jalan rentas itu ketika dihubungi wartawan Gago Daily.

Beliau yang terkenal dikalangan rakan-rakan dan pengikut media sosial dengan tagline #kasijaditerus turut berkongsi beberapa keping gambar trip off-road dan pengalaman menarik bayar tol melalui hantaran di Facebook miliknya.

Pemuda gigih ini memandu kenderaan pacuan empat roda selama 23 jam dengan membawa barangan fertigasi cili, log lebah serta struktur perlindungan hujan (SPH).

Menceritakan detik awal perjalanan itu, Sylvester bersama adiknya dan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda bertolak dari Miri pada 20 Jun jam 5 pagi.

Cabaran pertama, kenderaan yang dipandunya terkandas dan hampir terbalik bersama muatan semasa menaiki Bukit Magoh.

Kenderaan tersebut berjaya ditarik dengan bantuan pekerja pemasangan paip yang lalu di kawasan itu.

Mereka juga mengambil masa hampir tiga jam mencari laluan alternatif.

Katanya, laluan pertama tidak dapat digunakan kerana jambatan runtuh manakala laluan kedua merentasi sungai tidak dapat dilalui kerana paras air naik.

“Kami menggunakan laluan ketiga namun terjumpa sekatan yang tiada orang. Kami merasa takut untuk membuka sekatan tersebut kerana dalam hutan.”
“BImbang ada apa-apa yang tidak kena. Maklumlah kita hanya merentasi kawasan orang lain. Kami kemudian berpatah balik,” kata Sylvester.

Dalam perjalanan itu, mereka terserempak sekali lagi dengan pekerja paip yang kemudian menunjukkan satu lagi arah laluan alternatif.
Mereka tiba di Long Tanid kira-kira jam 1.30 pagi dan bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke Lawas pada esok pagi, kira-kira tiga jam perjalanan.

Menurut Sylvester, sebagai persiapan beliau mengisi penuh minyak kenderaan selain membawa tiga gelen minyak yang mencukupi untuk sampai di Lawas.
Selain itu bekalan makanan untuk tengah hari dan makan malam sekiranya perlu bermalam di tengah hutan.

Walaupun ada sebahagian jalan di sini diselenggara dengan baik namun licin dan berbahaya apabila hujan lebat.

Terdapat jalan rosak teruk terutama di kawasan Limbang dan dari Long Tanid ke Lawas di mana permukaannya berbatu besar.

“Bayangkan saya terpaksa memandu dengan kelajuan antara 20km hingga 30km sejam. Apa yang penting selamat sampai ke destinasi,” katanya yang menyifatkan trip itu mencabar namun menyeronokkan.
Bagi yang mahu menggunakan jalan ini, lebih baik konvoi atau sekurang-kurangnya dua kenderaan, nasihat Sylvester.

Faktor cuaca yang baik dan pengetahuan undang-undang jalan balak juga amat penting untuk keselamatan selain memendekkan waktu perjalanan.
LihatTutupKomentar
Cancel