Pasar Tani bermula esok di Sarawak

KUCHING, 26 Jun: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA) mempelawa orang ramai mengunjungi pasar minggu Medan Niaga Satok di sini atau pasar tani di sembilan lokasi seluruh negeri yang akan kembali diadakan  mulai esok pagi.

Pengarah FAMA Sarawak, Dato Dr Mat Sani Hassan berkata ini kerana kerajaan sudah memberi kelonggaran bagi pasar tani dan pasar minggu setiap Sabtu dan Ahad diadakan semula selepas pihaknya diarahkan tidak mengadakannya ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

"Jadi kita ( FAMA Sarawak) selepas mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil keputusan membuka semula pasar minggu di kawasan berbumbung di sini (Medan Niaga Satok) mulai esok,"katanya pada sidang media di Ibupejabat FAMA Sarawak di Medan Niaga Satok, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Sani berkata pasar minggu itu boleh dikunjungi orang ramai mulai jam 7 pagi sehingga 6 petang esok dan ada empat tempat orang ramai menjalani pemeriksaan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk pemeriksaan suhu badan, pengunaan topeng muka dan sanitizer tangan serta menulis buku rekod.

"Kami juga sudah membuat persediaan seperti tapak berniaga (di pasar minggu Medan Niaga Satok) dijarakkan satu atau dua meter dan diletakkan penghalang supaya pengunjung dan peniaga ada penjarakkan sosial,"katanya.

Katanya hampir 80 peratus dari seramai 584 peniaga pasar minggu terbabit juga sudah bersedia kembali berniaga mulai esok dan mendedahkan sebelum ini ramai peniaga terbabit kerap bertanya mengenai pasar minggu itu kerana sudah tiga bulan kehilangan pendapatan.

Pihaknya juga menjangkakan akan berlaku kesesakkan di Medan Niaga Satok esok kerana sebelum ini sekitar 7,000 hingga 8,000 orang mengunjungi pasar minggu itu setiap Sabtu dan Ahad.

"Berikutan itu ada jalan masuk ke Medan Niaga Satok akan ditutup kepada lalulintas  kenderaan esok dan orang ramai berjalan kaki ke pasar minggu terbabit,"katanya.

Disamping itu, pihaknya juga akan mengadakan kembali pasar tani di sembilan lokasi di seluruh negeri ini mulai esok dari jam 7 pagi sehingga 6 petang dan pengunjungnya perlu mematuhi SOP sama seperti di pasar minggu Medan Niaga Satok.

Sani berkata keseluruhannya 36 pasar tani diadakan FAMA di Sarawak setiap Sabtu dan Ahad sebelum PKP membabitkan seramai 1,185 peniaga dan selepas ini akan mengadakan lebih banyak pasar tani di negeri ini setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

LihatTutupKomentar
Cancel