Bujang Senang risik pemain kacukan S'wak-AS
PEMAIN berdarah kacukan Sarawak-Amerika Syarikat, dari Tanjung Paku, Betong bakal menyertai skuad Sarawak dalam saingan Liga Malaysia.
Isaac Angking, 20, pemain tengah pasukan kelab New England Revolution merupakan aset utama Sarawak pada masa akan datang.
Kini kelab New England Revolution dibimbing Bruce Arena yang pernah membawa Amerika Syarikat ke Piala Dunia sebanyak dua kali (1998 dan 2002).
Isaac memulakan karier bola sepak sejak berusia 14 tahun bersama skuad belia New England Revolution pernah dirisik pasukan Sarawak sebagai pemain import bagi saingan musim ini.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Philip Jabu dilaporka berkata, pihaknya pernah merisik pemain tersebut namun dia masih terikat dengan kelab bola sepak di Amerika Syarikat.
"Banyak proses yang perlu kita lalui untuk membawa beliau dalam pasukan kita. Tambahan pula, Isaac masih menyambung pengajian di negara kelahiran beliau.
"Isaac juga menyatakan bahawa beliau masih terikat dengan kelab bola sepak di Amerika Syarikat dan belum bersedia untuk berpindah daripada negara kelahirannya," katanya.
Philip berkata, kebolehan Isaac amat luar biasa dan mempunyai potensi besar dalam arena bola sepak dan amat bersetuju jika beliau diberi kesempatan bermain di Malaysia.
Katanya, amat berbangga kerana mempunyai wakil pemain bola sepak yang berdarah Iban dari Sarawak.
Untuk rekod bapa kepada Isaac merupakan warganegara Amerika Syarikat manakala ibu beliau berbangsa Iban.
Isaac pernah membuat tiga penampilan bersama skuad Bawah 17 (B-17) dan empat kali Bawah 20 (B-20) AS masing-masing pada 2017 dan 2018.
Pada tahun lalu, Isaac disebut untuk mewakili skuad kebangsaan, namun Persatuan Boka Sepak (FAM) masih kekurangan maklumat mengenai pemain tersebut.
Datuk kepada Isaac merupakan Kolonel (R) Dunstan Nyaring Angking yang berasal dari Tanjung Paku, Betong dan perwira Iban pertama yang mencapai pangkat Kolonel dalam Angkatan Tentera Malaysia.