Penganut Katolik Miri hadiri Misa Ahad dalam normal baharu
MIRI: Penduduk Kristian Roman Katolik di sini menghadiri upacara misa Ahad yang pertama kali diadakan di tempat letak kereta Gereja Mater Die, Lutong hari ini.
Diocese Miri dalam hantaran di Facebook memberitahu, misa tersebut diadakan bermula jam 7 pagi dan dipimpin oleh Bishop Roman Katolik Miri, Rt. Rev. Bishop Richard Ng.
“Kira-kira 100 kenderaan parkir dengan jarak satu petak, sebagai mematuhi penjarakan sosial yang merupakan prosedur operasi standard (SOP).”
“Selain itu, penganut yang datang dihendaki duduk dalam kenderaan masing-masing sehingga tamat misa,” kata kenyataan itu.
Semasa upacara Holy Communion (Roti Kudus), Bishop dan warden gereja pergi ke ke setiap kereta.
Penganut turut diingatkan menggunakan pensanitasi tangan sebelum menerima Roti Kudus.
Bishop Ng turut mengingatkan penganut agar tidak membawa kanak-kanak di bawah 12 tahun untuk menghadiri Misa Ahad.
“Selain itu, mereka yang mempunyai gejala demam, batuk, berhingus dan sukar bernafas tidak harus menghadiri misa. Pematuhan SOP oleh kerajaan amat penting bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada penganut yang memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan.