Pengusaha bistro terjejas teruk...
![]() |
Kelvinoniko Seding Onose, 37, menunjukkan hidangan makanan laut yang boleh dipesan pelanggan di Borneo Flavours Cafe & Bistro. |
KOTA SAMARAHAN, 5 Jun: Pendapatan jauh berkurangan semenjak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan pengusaha premis cafe dan bistro di negeri ini berharap kerajaan dapat membantu perniagaan mereka.
Antaranya Kelvinoniko Seding Onose, 37 dari Kampung Giam, Padawan yang baharu setahun membuka premis perniagaan Borneo Flavours Cafe & Bistro di satu pusat komersil berhampiran Bandar Riyal, di Jalan Datuk Mohd Musa, di sini.
"Pendapatan perniagaan bistro saya telah menurun sehingga 50 peratus akibat PKPB, ini kerana pelanggan telah jauh berkurangan, berbanding sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua bulan yang lepas,"katanya semalam.
Kelvinoniko mengakui pendapatan dari perniagaannya itu ketika ini hanyalah sekadar mampu menampung kos operasi yang penting sahaja terutama membayar sewa premis dan juga membayar gaji pekerja.
"Malahan saya terpaksa memberhentikan langganan siaran televisyen berbayar di premis perniagaan walaupun siaran terbabit antara tarikan pelanggan sebelum ini semata-mata bagi mengurangkan lagi kos perniagaan,"katanya.
Antara cadangannya kepada kerajaan bagi membantu perniagaannya ialah membenarkan semula premis cafe & bistro di negeri ini membuat persembahan kumpulan muzik, artis atau kumpulan busking tempatan.
![]() |
Suasana di Borneo Flavours Cafe & Bistro yang ramai pelanggan bagi menyaksikan persembahan kumpulan muzik sebelum perlaksanaan PKP. |
"Ini kerana sebelum ini ramai pelanggan gemar mengunjungi premis perniagaan saya bagi berhibur melihat persembahan terbabit sambil mereka menikmati pelbagai hidangan makanan Dayak dan makanan laut serta minuman,"katanya.
Kelvinoniko berkata disamping itu ramai kumpulan muzik atau busking tempatan telah kerap menghubunginya sebelum ini bagi bertanya peluang mereka kembali membuat persembahan di premis perniagaannya.
Beliau terpaksa meminta mereka bersabar kerana permisnya ketika ini patuh dengan PKPB dan merasa simpati dengan sebahagian ahli kumpulan terbabit yang menjadikan persembahan mereka sebagai sumber utama pendapatan.