Penjenayah tegar ditahan kes samun
JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama)-- Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan mempunyai 18 rekod jenayah lampau, ditahan di kawasan Taman Universiti, dekat Iskandar Puteri, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ops Lejang Khas pada pukul 2.45 pagi tadi.
Katanya, suspek ditahan susulan kes samun terhadap seorang wanita berusia 50 tahun pada 18 Jun lepas, berhampiran selekoh pasar raya SpeedMart99 Jalan Pulai, Taman Pulai Flora, Kangkar Pulai.
“Suspek dari arah belakang telah menarik rantai di leher mangsa yang ketika itu berjalan kaki sendirian. Kemudian lelaki tersebut terus melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang diparkir berhampiran sebuah pasar raya.
“Bagaimanapun, mangsa hanya mengalami kecederaan calar di bahagian siku dan lutut belah kanan, lalu membuat laporan polis,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, pihaknya turut membuat rampasan antaranya sebuah telefon bimbit Samsung J7, sebilah parang berukuran 45 cm, satu playar pemotong, dua playar, tiga rangkai kunci motosikal dan sebuah kenderaan jenis Proton Inspira berwarna perak.
Katanya, hasil semakan terhadap kunci serta Proton Inspira bersama nombor cukai mendapati ada kaitan dengan empat kenderaan yang mempunyai rekod hilang di Taman Perling.
“Suspek juga didapati terlibat dalam lain-lain kes iaitu kes curi tong gas di kawasan Mutiara Rini serta Taman Ungku Tun Aminah.
“Siasatan akan diteruskan untuk mengesan barang kes serta kemungkinan suspek lain yang masih bebas, serta penglibatan suspek ini dalam kes-kes yang lain di kawasan Wilayah Iskandar,” katanya yang menjelaskan suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes samun berkenaan disiasat di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan dan perintah tahanan reman akan dimohon hari ini.
-- BERNAMA