Polis tahan anak disyaki bunuh bapa
LAHAD DATU, 16 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai membunuh bapa kandungnya menggunakan tombak sawit dalam kejadian di kawasan rumah ladang di Kampung Ulu Teburi, Tungku, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata suspek berusia 30 tahun itu ditangkap penduduk kampung pada 2 petang di rumah ibu saudara isterinya di kampung yang sama, lapan jam selepas kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa yang mabuk telah berselisih faham dengan suspek serta bertindak menyerang suspek dengan parang, katanya dalam kenyataan hari ini.
"Ekoran itu, suspek melarikan diri ke arah lori dan mengambil tombak sawit di tempat duduk pemandu sebelum membalas dengan memukul mangsa beberapa kali menggunakan tombak itu," katanya.
Nasri berkata pukulan itu terkena kepala dan beberapa anggota badan mangsa berusia 62 tahun tersebut dan menyebabkan mangsa jatuh ke bawah bukit.
Kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA