Pos Malaysia tambah pekerja
KUCHING, 27 Jun: Pos Laju sudah mempercepatkan penghantaran bungkusannya dan masa menunggu pelanggan sekarang di bandar raya ini adalah sekitar empat hingga lima hari.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen berkata demikian setelah berkunjung ke pusat Pos Laju, di sini, pagi ini bagi menyampaikan maklumbalas orang ramai yang mahu mereka menambahbaik waktu penghantaran dan waktu menunggu bungkusan.
"Saya diberitahu bahawa masa menunggu adalah sekitar empat hingga lima hari. Ini tentu saja merupakan peningkatan dari masa tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), tetapi saya menggesa mereka untuk terus menambahbaik sehingga satu hingga dua hari seperti sebelum ini,"katanya dalam kenyataanya di laman Facebooknya hari ini.
Kelvin berkata ketika ini waktu menunggu bungkusan terbabit masih lebih lama dari biasa kerana pertambahan bungkusan terutama ke Malaysia Timur dan juga masalah logistik tertentu yang mereka hadapi terutama semasa PKP.
"Tetapi sekarang dengan pertambahan penerbangan terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) ini, mereka berusaha untuk meningkatkan kelajuan penghantaran dengan lebih banyak lagi,"katanya.
Katanya Pos Laju juga mengambil lebih ramai penghantar bungkusan termasuk pekerja separuh masa bagi mempastikan bungkusan dihantar terus ke rumah dan pelanggan tidak perlu pergi ke pusat Pos Laju.