Presiden SEDAR cabar Fadillah di Petra Jaya

KUCHING:Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) akan meletakkan Presidennya, Dato' Othman Abdillah sebagai calon di P.194 Petra Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berkemungkinan mengekalkan penyandang kerusi parlimen tersebut, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusuf,

Dato' Othman juga dijangka menjadi calon parti untuk N.7 Samariang yang merupakan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Petra Jaya.

Katanya,kepentingan Sarawak hanya dapat diwakili oleh sebuah parti Sarawak yang tidak mempunyai tanggungan politik kepada mana-mana pihak lain sama ada atas perhubungan pada masa lalu ataupun berkaitan permainan kuasa sekarang. 

"Penghakisan hak Sarawak telah berlaku semasa era Barisan Nasional (BN) di mana perbincangan demi perbincangan dilakukan untuk mengembalikan hak yang hilang itu telah gagal dilaksanakan," jelasnya.

Pada masa yang sama, katanya, kegagalan teruk Pakatan Harapan (PH) dalam menepati janjinya meningkatkan ketidakyakinan terhadap keikhlasan semua parti Semananjung.

"SEDAR percaya bahawa struktur politik semasa di peringkat Kerajaan Persekutuan yang mengandungi UMNO sebagai parti terbesar dan tentunya yang paling berpengaruh dalam kerajaan, mempunyai kemiripan yang signifikan dengan apa yang dialami oleh Sarawak semasa pemerintahan BN. 

"Apakah rancangan alternatif GPS sekiranya jawatankuasa perundingan baru gagal? Akankah "kingmaker" yang kini "wanita cantik" memfailkan untuk perceraian? Jelas, hal ehwal Sarawak tidak berada dalam keadaan yang terbaik,"ujarnya.

Beliau berkata, Sarawak menghadapi situasi kemunduran dalam perjuangan untuk mengembalikan haknya.

"SEDAR tidak boleh lagi menahan diri daripada keluar dan bertanding di semua 31 kerusi parlimen dalam usaha untuk memberikan perwakilan sebenar kepada rakyat Sarawak di Parlimen. 

"Parti ini telah menerima sokongan luar biasa untuk melakukannya, susulan kepada pengumumannya minggu lalu untuk bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN12 akan datang,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel