"Profesor" antara diberkas kes dadah
JOHOR BAHRU, 15 Jun (Bernama) -- Polis Johor berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah iaitu ‘Geng Ah Poh’ dan ‘Geng Handsome’ susulan penahanan 18 individu dalam 15 serbuan, di empat daerah negeri ini antara 2 hingga 9 Jun lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata seramai 11 daripada yang ditahan dalam serbuan di Pasir Gudang, Kota Tinggi dan Pontian itu merupakan lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan enam wanita tempatan.
Beliau berkata kesemua mereka berumur dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun.
“Hasil serbuan itu sebanyak 320.07 gram syabu; 116.88 gram heroin; 3.7 gram ketamin; 310 biji pil ekstasi; 103 biji pil Eramin 5 dan 53 biji pil Yaba yang keseluruhan bernilai RM49,781, berjaya dirampas.
“Polis turut menemui sepucuk pistol tiruan bertulisan ‘Blow F92’ serta 29 butir peluru selain menyita barangan kemas bernilai RM8,000; 15 kenderaan pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM834,000 dan wang tunai RM71,045 serta 18 akaun bank tempatan milik lapan individu dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah yang berjumlah RM117,354.12,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata sindiket pertama yang berjaya ditumpaskan ialah Geng Ah Poh, dianggotai 12 suspek dan diketuai lelaki warganegara Singapura berusia 43 tahun.
“Ketua sindiket ini membekalkan satu kilogram (kg) syabu setiap dua hari kepada tokan-tokan dadah yang beroperasi di Johor Bahru, Pontian dan Plentong (Pasir Gudang),” katanya.
Geng Ah Poh pula, katanya, diketuai seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dan dianggotai lima lagi suspek termasuk isteri kepada ketua sindiket berkenaan.
Beliau berkata ketua sindiket itu mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak 2002 dan pernah ditangkap sebanyak enam kali dengan kali terakhir pada 2017.
“Dia (ketua sindiket) menggunakan premis perniagaan lampu hiasan yang beroperasi di Johor Bahru sebagai samaran kepada aktiviti pengedaran dadah.
“Turut ditangkap dalam geng ini ialah ‘profesor’ yang bertanggungjawab menyukat dan membungkus syabu sebelum diedarkan kepada tokan-tokan di Johor Bahru, Seri Alam dan Kota Tinggi,” kata beliau.
Ayob Khan berkata berdasarkan semakan, kesemua anggota kedua-dua sindiket itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain 16 daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Semua suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Katanya, sejak 1 Januari hingga 13 Jun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya melakukan tangkapan seramai 7,739 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
Dalam tempoh sama, sebanyak 866.65 kg dadah bernilai RM17.47 juta berjaya dirampas selain penyitaan harta bernilai RM7.73 juta.
-- BERNAMA